GENG LENSA HIDUP

14 September 2010

JANGAN LULUS PELEPASAN NYAMUK GE KE LADANG

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Ketua Pengarah Keselamatan Bio supaya menolak permohonan untuk melepaskan nyamuk aedes yang menjalani kejuruteraan genetik (GE) ke ladang tanaman dan semua ujikaji yang berkaitan dengannya. Ini kerana risiko terdedah kepada ujikaji yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan alam sekitar.
Lembaga Keselamatan Bio Kebangsaan pada masa ini sedang menimbang permohonan dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Malaysia untuk melepaskan nyamuk transgenik untuk membendung penyakit denggi bawaan vektor. Ujikaji itu melibatkan pelepasan nyamuk jantan GE, Aedes aegypti (OX513A) yang membawa gen “pembunuh”, untuk mengawan dengan nyamuk betina liar, yang boleh menyebabkan kematian progeni (keturunan) kedua-duanya.
Jika permohonan itu diluluskan, kedua-dua nyamuk jenis GE dan Aedes jenis liar dijangka akan dilepaskan di kawasan yang tidak didiami dan dihuni di daerah Bentong, Pahang dan daerah Alor Gajah di Melaka.
Menurut perancangan yang ada, lebih kurang 2,000 – 3,000 nyamuk GE akan dilepaskan dalam sehari, selama dua hari berturut-turut. Satu lagi kaedah ialah dengan dilepaskan sekali, kira-kira 4,000 – 8,000 nyamuk GE, bersama-sama sejumlah nyamuk jenis liar, Aedes aegypti. Di dalam permohonan itu ada disebut bahawa ujikaji itu mungkin perlu dibuat berulangkali.
Ini bermakna sejumlah 24,000 – 36,000  Aedes aegypti GE selain nyamuk yang hidup meliar mungkin dilepaskan ke dalam alam sekitar. Jika ujikaji itu dilakukan berulangkali, ada kemungkinan jumlah kedua-dua jenis nyamuk tersebut akan bertambah banyak.
Kami berasa bimbang dengan ujikaji ladang secara terbuka ini kerana semua risiko yang berkaitan dengan teknik terbabit mungkin tidak diambil kira oleh pemohon kerana sebahagian daripada risikonya tidak ketara.
Di antara perkara yang membimbangkan kami ialah terdapat kemungkinan nyamuk betina memindahkan penyakit dibebaskan secara berterusan jika proses pemilihan jantina sebelum dilepaskan kurang tepat. Kita tidak mempunyai jaminan mengenai kebolehupayaan dan keberkesanan proses pemilihan jantina nyamuk.
Tambahan pula, larva nyamuk yang terhasil selepas nyamuk jantan GE mengawan dengan nyamuk betina liar hanya akan mati dengan kehadiran tetracycline dalam alam sekitar. Perkara ini penting kerana tetracycline merupakan antibiotik umum yang digunakan di ladang ternakan untuk tujuan perubatan dan veterinar. Dengan kehadiran tetracycline progeni mungkin hidup dan meningkatkan bilangan Aedes aegypti dalam persekitaran.
Satu lagi kebimbangan yang perlu disuarakan ialah serangga lain, yang sesetengahnya lebih berbahaya daripada  Aedes aegypti, mungkin akan menghuni di kawasan yang dikosongkan oleh nyamuk-nyamuk terbabit. Misalnya jika nyamuk Aedes aegypti berjaya mengatsi jumlah nyamuk liar, ia boleh menyebabkan pertambahan nyamuk Aedes albopictus, yang menyebarkan wabak chikugunya dan denggi.
Pemohon telah mencadangkan langkah-langkah kawalan yang antara lain memerangkap nyamuk GE dan mengasap kawasan terbabit. Namun ada kemungkinan sesetengah nyamuk terus berada dalam alam sekitar walaupun dibuat pemantauan dan kawalan terhadapnya.
Begitu juga tiada jaminan bahawa kesemua nyamuk dan larva yang dibebaskan berjaya dihapuskan. Beberapa kajian lain menunjukkan Aedes aegypti boleh kekal sebagai larva selama berbulan-bulan selagi suhunya sejuk dan bekalan airnya mencukupi.
Jika penggunaan nyamuk GE masih diluluskan di sebalik bantahan orang ramai, ia masih belum mapan dalam jangka panjang. Apabila transgen mati bersama nyamuk berkenaan, ini bermakna nyamuk GE perlu dilepaskan secara berterusan. Kita perlu wang yang banyak untuk proses melepaskan nyamuk GE sekalipun tiada jaminan mengenai keselamatannya.
Kenapakah kita hendak mengguna pakai kaedah yang agak mahal untuk mengawal perebakan demam denggi padahal terdapat pilihan yang kurang berbahaya dan lebih menjimatkan wang?
Terdapat alternatif yang berkesan dan mampu mengawal nyamuk yang merebakkan demam denggi dan lain-lain penyakit. Usaha-usaha untuk mengurangkan jangkitan perlu memberi tumpuan kepada langkah-langkah pencegahan. Kita perlu memastikan bahawa tempat pembiakan nyamuk dihapuskan sama sekali.
Satu kajian di Thailand mendapati bekas air yang besar menampung 90 peratus pupa nyamuk aedes di kawasan luar bandar dan 60 peratus di kawasan bandar. Di Cuba, kajian ke atas  Aedes aegypti mengesahkan yang risiko terbesar dikaitkan dengan ketiadaan penjagaan kebersihan bekalan air yang disimpan dan air dalam pasu bunga untuk tujuan keagamaan. Membersihkan bekas-bekas air ini boleh mengurangkan bilangan nyamuk dengan lebih berkesan lagi.
Penyelidikan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Hutan Malaysia menemui sejumlah ‘essential oils’ sepertiCymbopogon nardus (tumbuhan citronella), Litsea eliptica, Melaleuca cajuputi (gelam), dan Cinnsmomum spp(kulit kayu manis) mempunyai ciri-ciri untuk menghapuskan nyamuk Aedes aegypti. Ekstrak Euphoriaceae, khususnya Euphorbia tirucalli (tumbuhan firestick) juga didapati boleh menjadi penghapus larva yang baik.
Kaedah-kaedah yang disebutkan tadi mungkin lebih berkesan daripada kaedah berteknologi tinggi yang bukan sahaja mahal malah tidak selamat. Justeru itu, kami menggesa kerajaan dan Ketua Pengarah Keselamatan Bio agar tidak meluluskan permohonan untuk melepaskan nyamuk GM tetapi sebaliknya mendapatkan jalan keluar yang lebih selamat untuk mengawal penyakit bawaan vektor daripada merebak.
Nota: Orang ramai boleh menyuarakan pandangan/ulasan sehingga 4 September 2010 kepada:- 
Ketua Pengarah Keselamatan Bio,
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar,
Aras 1, Podium 2, Wisma Sumber Asli,
No. 25, Persiaran Perdana, Presint 4,
62574 PUTRAJAYA
Faks: 03-88904935
Nombor Rujukan NRE(S)609-2/1 untuk koresponden. Maklumat lanjut mengenai permohonan itu boleh diperolehi daripada www.biosafety.nre.gov.my di bawah Pandangan Awam.
oleh: SM Mohamed Idris - rujukan klik SINI 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...