GENG LENSA HIDUP

19 May 2015

SIRI TV POPULAR CSI BAKAL BERAKHIR SELEPAS 16 TAHUN


LOS ANGELES, 18 MEI 2015: Drama bersiri TV penyiasatan popular, CSI: Crime Scene Investigation bakal berakhir pada penghujung musim ke-15 yang sedang ditayangkan kini, menurut satu pengumuman dari pihak CBS.
CSI adalah salah satu siri TV yang paling banyak mencipta fenomena bagi tempoh sedekad yang lalu, di mana ianya berkisar mengenai para penyiasat lokasi jenayah, berusaha menyelesaikan kes pembunuhan.
Kini selepas 16 tahun bersiaran, ianya akan berakhir diikuti filem istimewa bagi menyimpulkan jalan ceritanya.
Filem khas itu akan disiarkan pada 27 September 2015 di Amerika Syarikat dan dikhabarkan berdurasi dua jam.
Filem ‘perpisahan’ itu akan turut akan menampilkan para pelakon asal seperti William Petersen dan Marg Helgenberger.
Para peminat CSI berpeluang menyaksikan penyelia terdahulu kumpulan CSI iaitu Gil Grissom dan pembantunya, Catherine Willows beraksi semula selepas meninggalkan siri itu beberapa tahun lalu.
William Petersen menjadi peneraju siri CSI pada sembilan musim awal sebelum diambil alih Marg Helgenberger sehingga musim ke-12.
“Sememangnya kami amat bersedih dengan keputusan ini,” ujar Nina Tassler, Pengerusi CBS Entertainment dalam kenyataan rasmi laman syarikat itu.
Drama ikonik ini mempunyai 3 siri spinoff dalam tempoh 16 tahun. CSI: Miami bertahan sehingga musim ke-10, CSI: NY (9 Musim) dan CSI: Cyber mula ditayangkan pada Mac tahun ini.
CSI pernah dinobatkan sebagai salah satu drama siri paling popular dengan jumlah penonton melebihi 73.8 juta di seluruh dunia. Pada tahun 2012, CSI diangkat sebagai siri televisyen paling popular di dunia buat kali kelima di Festival Televisyen Monte-Carlo.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...