Satu kegilaan baru di kalangan remaja dalam beberapa hari ini adalah Cabaran Charlie Charlie atau dalam bahasa Inggerisnya, Charlie Charlie Challenge.
Ia merupakan sejenis permainan berunsur demonic atau syaitan, yang bertujuan untuk menyeru roh atau hantu agar menunjukkan bukti kehadiran mereka di kalangan manusia.
Ia dikatakan versi baru permainan papan Ouija, yang pernah popular satu ketika dahulu sebagai medium untuk memanggil roh mereka yang telah meninggal dunia.
Di laman sosial, remaja di seluruh dunia menggunakan hashtag #charliecharliechallenge untuk menunjukkan keterujaan mereka dalam mencuba permainan tersebut.
Senang sahaja cara untuk memainkan permainan ini. Anda hanya memerlukan sekeping kertas dan dua batang pensil. Bahagikan kertas tersebut kepada empat kotak, dengan perkataan ya (yes) atau tidak (no) ditulis pada kotak-kotak berkenaan. Letakkan dua batang pensil di tengah-tengah garisan pembahagi(rujuk video di bawah).
Kemudian, si pemain perlu bertanyakan soalan-soalan seperti "Charlie, adakah awak ada di sini?" dan "Charlie, mahukan awak bermain dengan saya?"
Tunggu seketika dan perhatikan ke mana arah pensil itu.
Walaupun ramai berpendapat ia ada kaitan dengan fenomena mistik, namun ada juga sesetengah pendapat yang mengatakan ia tidak lebih sekadar akibat tindakan graviti.