Sekarang ni proton makin mengorak langkah ke hadapan dengan memuatkan hampir beberapa model terkini mereka dengan deruan dan kuasa dari enjin Campro. Tidak dinafikan enjin Campro menjalani pelbagai tahap penambah-baikan dan makin diterima di kalangan pengguna.
Jom kita lihat beberapa fakta enjin campro proton (yang saya dapati dari forum-forum terdekat).
Enjin Campro
Enjin Campro ialah enjin kereta pertama yang dikeluarkan oleh pembuat kereta Malaysia, Proton dengan kerjasama Lotus[1]. Nama Campro ialah kependekan bagi Cam Profile (Profil Sesondol). Enjin ini digunakan dalam model-model kereta Proton bermula dengan Proton Gen-2 diikuti model-model lain termasuk Proton Satria Neo, Proton Waja dan Proton Persona. Enjin ini dibina sebagai membuktikan kemampuan Proton untuk membina enjin yang berkuasa dan mematuhi piawaian emisi yang ketat.
Enjin DOHC Asas
Enjin Campro DOHC asas dikeluarkan dalam 2 sesaran enjin iaitu 1.6L (S4PH) dan 1.3L (S4PE). Semasa peringkat pembangunannya, enjin ini dipasang pada Proton Waja yang digunakan khas untuk ujian jalan raya. Enjin ini mula digunakan pada Proton Gen-2. Walaupun enjin tersebut kelihatan berkuasa pada kelajuan enjin tinggi, namun pengguna awal Gen-2 mengalami masalah kekurangan kilasan terutamanya untuk mendaki bukit semasa kelajuan enjin sekitar 3,000 ~ 3,500 rpm disebabkan penurunan kilasan pada kelajuan tersebut sebelum meningkat semula ke 148 N-m pada 4,000 rpm. Akibatnya, pemandu terpaksa banyak menukar antara gear 2 dan 3 semasa mendaki bukit. Masalah ini diselesaikan dengan pemetaan semula ECU enjin tersebut pada tahun 2005.
S4PH
Kuasa kuda maksimum: 110 bhp (82 kW) @ 6,000 rpm
Kilasan maksimum: 148 N-m @ 4,000 rpm
Lubang x lejang: 76 x 88 mm
Sesaran enjin: 1598 cc
S4PE
Kuasa kuda maksimum: 94 bhp (70 kW) @ 6,000 rpm
Kilasan maksimum: 120 N-m @ 4,000 rpm
Lubang x lejang: 76 x 73.4 mm
Sesaran enjin: 1332 cc
Enjin Campro CPS dan VIM
Sebagai tambahan kepada enjin DOHC asas sedia ada, Proton juga sedang membangunkan enjin CPS (Penukaran Profil Sesondol) dan VIM (Rongga Masukan Boleh Laras). Teknologi CPS adalah teknologi pemasaan injap boleh laras yang dibangunkan serupa dengan teknologi VTEC oleh Honda dan VVT-i oleh Toyota, tetapi bezanya ialah CPS menukar profil sesondol dengan menggunakan tapet tindakan terus dengan pin pengunci manakala VTEC dan VVT-i pula menggunakan lengan jumpelang dengan pin pengunci[1]. Mekanisme CPS bertindak pada 3,800 rpm, tetapi pada Proton Satria Neo CPS pula penukaran berlaku pada 4,400 rpm.
Enjin Campro CPS 1.6 mampu menghasilkan sehingga 125 kuasa kuda (127 PS; 93 kW) pada 6,500 rpm serta meningkatkan nilai kilasan kepada 150 N-m @ 4,500 rpm yang berterusan sehingga 5,000 rpm.[3] Proses pembangunan enjin ini sering mendapat kritikan di kalangan peminat automotif kerana sering tertangguh walaupun jadual asal bagi penggunaan teknologi sedemikian sepatutnya mula digunakan pada tahun 2005. Enjin Campro CPS hanya akan mula digunakan bermula dengan model Proton Gen-2 dan Proton Waja tahun 2008.
Kedua-dua teknologi CPS dan VIM saling bergandingan dan berfungsi dalam 3 mod berbeza seperti berikut:-
Kelajuan enjin rendah (3,800 rpm ke bawah): Sesondol rendah digunakan dan udara masuk melalui rongga masukan panjang untuk percampuran udara-bahan api yang lebih baik, seterusnya menjimatkan bahan api serta menghapuskan junaman kilasan pada rpm rendah.
Kelajuan enjin sederhana (3,800 ~ 4,800 rpm): Sistem CPS menukar profil sesondol dari sesondol rendah ke sesondol tinggi, membolehkan lebih banyak campuran udara-bahan api masuk dengan lebih lawas, sekaligus menyumbang kepada kuasa maksimum yang lebih tinggi.
Kelajuan enjin tinggi (4,800 rpm ke atas): Sistem VIM menukar aliran udara kepada rongga masukan pendek dan lurus.
Selain enjin 1.6L, enjin Campro CPS juga terdapat dalam versi 1.8L, tetapi setakat 30 April 2008 ia masih belum digunakan pada mana-mana model kereta Proton sebaliknya membuat penampilan sulungnya di dalam sebuah hoverkraf buatan Malaysia.
Enjin Campro IAFM
Secara ringkasnya, enjin Campro IAFM adalah enjin asas Campro DOHC yang dipasang dengan sistem rongga masukan boleh laras, dikenali sebagai modul IAFM (Modul Masukan Udara-Bahan Api), mula dibangunkan bersama-sama oleh Proton, Bosch dan EPMB pada April 2005. Walau bagaimanapun, perbezaan antara IAFM dengan sistem VIM pada enjin Campro CPS adalah seperti berikut:-
IAFM adalah modul tunggal yang boleh dipasang terus pada enjin asas DOHC tetapi VIM pula perlu berfungsi seiringan dengan sistem CPS pada enjin CPS.
IAFM berfungsi menggunakan tekanan vakum enjin manakala VIM berfungsi menggunakan solenoid elektrik kawalan ECU.
Enjin Campro IAFM mula digunakan pada generasi kedua Proton Saga yang dilancarkan pada Januari 2008. Enjin 1.3L tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum 98 bhp @ 6,500 rpm. Kilasan maksimum menurun sedikit kepada 113.2 N-m, tetapi banjaran kilasan pada enjin IAFM tersebut adalah lebih lebar serta masalah kemerosotan daya kilasan yang biasa dihadapi pada RPM pertengahan telah dapat ditangani sepenuhnya.
Sementara itu, versi 1.6 liter pula menghasilkan 110 bhp @ 6,500 rpm dan kilasan sekuat 148 N-m @ 4,000 rpm, dan masalah junaman kilasan pada versi DOHC asas telah dapat ditangani sepenuhnya. Enjin 1.6L IAFM ini mula digunakan pada kereta Proton Gen-2 M-line dan Proton Persona mulai tahun 2008.
Enjin Campro Hibrid
Proton dan Lotus telah mengumumkan model prototaip kereta Proton Gen-2 yang menggunakan enjin Campro hibrid semasa Pertunjukan Kereta Geneva 2007. Sistem enjin hibrid tersebut dikenali sebagai EVE (Cekap, Berdaya Saing, Mesra Alam). Ia menggunakan enjin S4PH sedia ada dan digandingkan dengan motor elektrik 144 V, 30 kW. untuk membolehkan sistem tersebut digunakan pada semua model sedia ada Proton tanpa perlu membangunkan platform baru yang berasingan bagi model kereta hibrid.
Data teknikal sistem hibrid tersebut adalah seperti berikut:-
Kuasa kuda maksimum (enjin sahaja): 110 bhp (82 kW) @ 6,000 rpm
Kilasan maksimum (enjin sahaja): 148 N-m @ 4,000 rpm
Kuasa kuda maksimum (gabungan): 141 bhp (105 kw) @ 5,500 rpm
Kilasan maksimum (gabungan): 233 N-m @ 1,500 rpm (dihadkan ke 180 N-m berterusan)
Enjin Campro turbo
Pada 13 Disember 2008, Pengarah Urusan Proton Datuk Syed Zainal Abidin telah membuat pendedahan bahawa Proton sedang membangunkan versi turbo bagi enjin Campro 1.6 L yang bakal diperkenalkan sekitar tahun 2010-2011. Enjin ini dibangunkan sebagai tindak balas kepada trend pasaran baru di mana enjin bersesaran kecil digunakan tetapi dipasang sistem pernafasan paksaan bagi menghasilkan keluaran kuasa yang setara dengan enjin yang lebih besar, satu konsep yang serupa dengan teknologi pengecas berkembar TSI pada kereta Volkswagen Golf Mk5. Tiada butiran sama ada enjin tersebut bakal dilengkapi dengan sistem pemasaan injap boleh laras CPS atau tidak, tetapi keluaran kuasa dianggarkan sekitar 150 bhp serta kilasan 240 N-m.
Perancangan masa hadapan
Buat masa sekarang, Proton sedang merancang untuk membangunkan enjin bersesaran lebih tinggi (1.8L dan 2.0L) sebagai pelengkap kepada enjin Campro 1.3L dan 1.6L sedia ada serta sedang berbincang dengan beberapa pihak luar bagi membantu pembangunan enjin. Di samping itu, Proton turut merancang untuk menghasilkan versi diesel bagi enjin Campro.
No comments:
Post a Comment