GENG LENSA HIDUP

20 November 2014

5 PERKAHWINAN PALING HEBOH DI MALAYSIA


Musim cuti sekolah datang lagi. Bermakna akan bermulalah musim kenduri-kendara. Mungkin ramai juga di kalangan pembaca yang menghitung hari untuk menamatkan zaman solo. 


Sementara itu, apa kata kita soroti top 5 perkahwinan paling diperkatakan di Malaysia.



1. PERKAHWINAN PALING DINANTI - Dato' Siti Nurhaliza & Dato' Khalid Muhamad Jiwa (21 Ogos 2006)


Sebagai penyanyi nombor satu negara, kisah peribadi Siti sentiasa jadi perhatian. Justeru bukanlah sesuatu yang pelik apabila sebulan sebelum perkahwinannya, semua media menjadikan Siti sebagai tajuk hadapan akhbar. Majlis pernikahan dan persandingan disiar secara langsung di TV3 dan disaksikan jutaan penonton.



2. PERKAHWINAN PALING RAMAI TETAMU TIDAK DIUNDANG - Ziana Zain & Armin Zaharin (9 Mei 1998)


Dengan status diva yang disandang Ziana, penyanyi ini tetap mahukan majlis perkahwinan tradisional. Majlis persandingannya tidak diadakan di mana-mana dewan 'high class', tetapi hanya di rumah keluarganya di Subang. Dek kerana popularitinya, majlis itu diserbu kira-kira 10,000 peminat! Dikhabarkan, bapa Ziana, Pak Zain, telah memesan dua lori nasi minyak untuk menampung tetamu yang begitu ramai.



3. PERKAHWINAN PALING BANYAK TAJAAN - Rozita Che Wan & Zain Saidin (11 Disember 2013)


Siapa lagi kalau pasangan sensasi yang baharu sahaja menimang cahaya mata ini. Kos tajaan untuk mereka dikhabarkan mencecah RM13 juta! Ia berlangsung dalam suasana meriah dan penuh mewah, dan disifatkan perkahwinan paling mahal di Malaysia setakat ini.




4. PERKAHWINAN PALING TINGGI HANTARAN - Mazuin Hamzah & Pengiran Sufri (11 Disember 1987)


Bagaikan dongeng Cinderella, artis kecil molek era 80an ini dipinang Pengiran Muda Sufri Bolkiah dengan hantaran bernilai satu juta ringgit. Sayangnya jodoh mereka tidak panjang dan bercerai 17 tahun kemudian.



5. PERKAHWINAN DUDA PALING HANGAT - Dato' M.Nasir & Datin Marlia Musa (31 Ogos 2000)


Selepas kematian isterinya, M.Nasir mula menjadi perhatian ramai wanita yang tertarik dengan karismanya. Saat mengumumkan akan mengahwini aktres Marlia Musa, ramai yang ternganga tidak percaya. Ketika ditanya tentang keistimewaan Marlia, kata M.Nasir " Saya suka sesuatu perkara misalnya sejenis kain dan dia (Marlia) ada kain itu"; satu kiasan yang perlu ditafsir sendiri.

SUNGAI PETANI: BAS JATUH SUNGAI



KUALA KETIL, (MLP) - Sebuah bas City Liner terjunam jatuh di Sungai Muda, Kuala Ketil kira jam 4:45 petang semalam. Ketika kejadian bas tersebut dalam perjalanan dari Kuala Ketil ke Sg Petani.


Maklumat awal menyatakan ketika kejadian hanya ada 3 penumpang termasuk pemandu.  Mereka terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang rakyat asing. Kesemua mereka dilaporkan berjaya merangkak keluar menyelamatkan diri.



Salah seorang penumpang dilaporkan cedera di muka.



Semua mangsa dihantar ke Pusat Kesihatan Kuala Ketil untuk rawatan lanjut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...