GENG LENSA HIDUP

09 April 2015

7 SELEBRITI YANG MENJADIKAN DATO' SITI NURHALIZA SEBAGAI INSPIRASI



Dato’ Siti Nurhaliza merupakan salah satu penghibur tersohor di Malaysia. Kejayaan penyanyi nombor satu Malaysia ini bukan hanya sekadar di dalam negara malah penganugerahan yang diterimanya meliputi sejenak Asia.

Sejak bergiat aktif sebagai penyanyi bermula tahun 1995, Dato’ Siti Nurhaliza telah melebarkan sayapnya sebagai penulis lirik, penerbit, penyampai televisyen serta ahli perniagaan.

Penanda aras yang dikecapi Dato’ Siti Nurhaliza dilaporkan menjadi ilham dan inspirasi buat ramai anak seni sama ada di Malaysia atau di luar negara. Ketahui 7 selebriti yang memetik nama Dato’ Siti sebagai sumber inspirasi mereka.

Aizat Amdan


Penyanyi popular Aizat Amdan pernah mendedahkan bahawa dia pernah menolak hasrat beberapa seniman tanah air antaranya Dato’ Siti Nurhaliza yang ingin mendapatkan karyanya.

Menurut Aizat, dia masih belum yakin bahawa lagu ciptaannya sesuai dinyanyikan oleh Dato’ Siti yang jauh berpengalaman serta seorang individu yang dianggapnya sebagai idola.

Misha Omar


Nama Misha Omar sememangnya gah ketika zaman kegemilangannya pada era 2000an. Penyanyi yang berasal dari Kelantan ini pernah merangkul beberapa anugerah berprestij antaranya Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Festival Filem Malaysia, Anugerah Bintang Popular dan lain-lain.

Dalam sebuah bual bicara, Misha Omar pernah menamakan Dato’ Siti Nurhaliza sebagai salah seorang individu paling diminati selain meletakkan seniornya itu sebagai penanda aras kejayaan.

Nicholas Teo


Bekas juara program realiti Astro Talent Quest 2002 ini berjaya mengilap bakatnya di Taiwan sekaligus menembusi pasaran antarabangsa.

Meskipun berjaya menewaskan Dato’ Siti Nurhaliza untuk gelaran Artis Pilihan Malaysia di Anugerah MTV Asia 2008, anak kelahiran Sarawak ini melahirkan keterujaan kerana menyangkakan ia akan menjadi milik penyanyi pujaannya itu.

Soo Wincci


Bahasa bukanlah halangan bekas ratu cantik Malaysia 2008, Soo Wincci untuk merakamkan album mini berbahasa Melayu. Menyanyikan lagu-lagu ciptaan Ajai, komposer terkenal itu akan turut menjadi penerbit sekaligus membimbing Wincci.

Salah satu sebab mengapa Wincci mahu merakam album tersebut adalah kerana minatnya terhadap lagu melayu selain suka menyanyikannya. 

“Idola yang menjadi inspirasi kepada saya sudah tentu Dato’ Siti Nurhaliza,” ujar Wincci dalam satutemubual.

Maia Lee


Penyanyi dan personaliti televisyen dari Singapura ini menggelarkan dirinya sebagai peminat Siti Nurhaliza bukan berbangsa melayu nombor satu di dunia!

Finalis Singaporean Idol ini juga pernah menyertai satu pertandingan mengenai Dato’ Siti Nurhaliza pada tahun 2003. Dalam pertandingan tersebut Maia mengenakan baju kebaya sambil menyanyikan lagu popular Dato’ Siti Nurhaliza.

Sunu (Matta)


Masih ingatkan anda kepada lagu Ketahuan yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Matta beberapa tahun lalu? Tahukah anda bahawa penyanyi utama kumpulan Matta iaitu Sunu sangat meminati Dato’ Siti Nurhaliza?

Sunu juga pernah melahirkan keinginan untuk berkolaborasi bersama idolanya itu. Semasa acara persembahan Anugerah Planet Muzik 2008, Sunu tidak melepaskan peluang menghulurkan mikrofon kepada Dato’ Siti sebaik saja dia menyedari kehadiran penyanyi idolanya itu di barisan depan.

Judika


Penghibur terkenal Indonesia, Judika yang popular menerusi lagu Aku Yang Tersakiti dan Mama Papa Larang juga meminati kelantangan vokal yang ditampilkan Dato’ Siti Nurhaliza.

Semasa dalam rangka promosi di Malaysia sekitar 2013, Judika pernah menyuarakan keinginan untuk bergandingan bersama penyanyi tersohor Malaysia itu.

Kredit gambar: Wikipedia, hyebro, ohbulan, mixrad, merdeka-online, johannahfimj, okezone, kapanlagi

230 KERETA MUSNAH JAYAKAN FAST & FURIOUS 7


KL, 3 APRIL 2015: Sejak mula ditayangkan diseluruh dunia, filem terbaru dari antara franchais filem paling berjaya pernah dihasilkan, Fast & Furious 7 terus menjadi topik perbualan ramai khususnya peminat filem ini.
Antara yang hebat diperkatakan adalah penampilan Paul Walker di dalam filem terakhir lakonan aktor tersebut sebelum meninggal dunia dalam kemalangan pada November 2013. Ketika itu Paul baru sahaja dua bulan berada di lokasi namun filem ini masih mampu dihabiskan.
Sebenarnya proses menghidupkan semula Paul Walker telah melibatkan beberapa pelakon pengganti. Antara yang terlibat adalah dua orang adiknya, Caleb Walker untuk meniru gerak tubuh Paul, manakala Cody Walker untuk mendapatkan renungan dan bentuk muka Paul.
Tidak cukup dengan itu, terdapat dua lagi orang yang diminta untuk menjadikan Brian O’Connor masih lagi ada dan tidak meninggalkan kumpulan yang menggilakan dunia automobil dan permotoran itu. Teknik CGI turut membantu merealisasikan Fast Furious 7 dengan kehadiran Brian O'Connor.
Dalam pada itu, filem berkisarkan dunia automobile yang juga mengikuti trend semasa permotoran dunia ini juga menampilkan Vin Diesel yang bertindak sebagai penggerak utama kepada kumpulan ini.
Difahamkan untuk filem ketujuh ini sahaja sebanyak 230 buah kereta telah musnah atau tidak boleh diselamatkan lagi. Ia lebih banyak khabarnya daripada siri sebelumnya diaman mereka telah menghancurkan sebanyak 25 kereta setiap hari penggambaran.
Namun tidak dinyatakan pula jumlah yang terpaksa ditanggung pembikin filem ini mengenai kos mereka untuk memusnahkan sebanyak 230 buah kereta demi menjayakan filem ini.
Vin Diesel dalam sebuah temuramah berkata bahawa dia berharap filem ini akan tercalon untuk kategori Filem Terbaik atau Best Picture di Oscars akan datang. Tetapi jika ia tidak berlaku, Fast & Furious & pasti akan menjadi filem yang paling mengharukan untuk cerita bergenre aksi sebegini.
sumber: Murai.com

MEMEY SUHAIZA SELAMAT LAHIRKAN ANAK KEDUA

KUALA LUMPUR, 9 APRIL 2015: Tahniah diucapkan kepada aktor Norman Hakim dan isterinya, Memey Suhaiza yang telah selamat melahirkan cahaya mata kedua mereka, malam tadi.
Menerusi video yang dimuatnaik di laman Instagram milik Norman sendiri, aktor itu memberitahu pengikut-pengikutnya yang isterinya telah melahirkan anak lelaki sekitar jam 9.57 malam tadi dengan berat 3.45 kilogram.
Norman dan Memey telah mendirikan rumah tangga pada 2011 dan sebelum ini telah dikurniakan anak lelaki yang diberi nama Mohamed Darwisz Hakim. Ini adalah anak kelima buat Norman Hakim dan anak kedua bersama Memey.
Tiga lagi cahaya mata Norman adalah hasil perkahwinan bersama pelakon Abby Abadi iaitu Mohamed Danish Hakim, 11, Marissa Dania Hakim,9, dan Maria Danisha Hakim, 6.
Tahniah diucapkan buat Memey...

5 NAHAS UDARA MELIBATKAN VVIP DI MALAYSIA




Malaysia telah digemparkan dengan berita nahas helikopter di Semenyih pada 4 April 2015 yang mengorbankan enam orang termasuk Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1M) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alia.

Sebenarnya, kemalangan udara ini bukan nahas pertama yang melibatkan orang kenamaan di Malaysia malah ia sudah berlaku sejak 1976.  

Berikut adalah senarai nahas penerbangan udara melibatkan orang kenamaan sejak 1976. 

6 Jun 1976 

Kemalangan udara yang berlaku pada jam 3.50 petang ini  mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens dan 10 VVIP  yang lain termasuk menteri kabinet apabila pesawat buatan Australia milik Sabah Air itu, terhempas kira kira 2 kilometer dari landasan Lapangan Terbang Kota Kinabalu. 

10 Jan 1982 

Menteri Luar Negeri, Tun Mohd Ghazali Shafie, 50, terselamat dari nahas pesawat apabila pesawat Cessna 206 yang dinaikinya terhempas di gunung Kampung Som Som Hilir berhampiran Kampong Janda Baik, 37.5km dari Kuala Lumpur.

Pesawat itu dikatakan dalam perjalanan dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor, Kuala Lumpur ke Kuala Lipis, kawasan pilihan raya yang diwakilinya.

8 Mac 1987

Helikopter Alouette yang dinaiki Datuk Seri Najib Tun Razak, empat anak kapal dan penumpang dari Pekan ke Kuala Lumpur dilaporkan nahas di 49km Lebuhraya Karak-KL pada 8 Mac 1987. 

Bagaimanapun, mereka semua selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

5 Mei 2013 

Helikopter yang dinaiki oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama keluarga dilaporkan mengalami masalah kawalan akibat angin kencang di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia, Sungai Besi.

Akibatnya, pesawat yang dinaiki mereka terbalik kerana tiupan angin yang kencang. 

Walau bagaimanapun, mereka sekeluarga selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan. 

4 April 2015 

Helikopter jenis AS365N2 Dauphin yang dinaiki oleh Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1M) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, 63, dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alia terhempas di Kampung Sungai pening, Semenyih, Selangor.

Kejadian yang berlaku pada 4.55 petang ini,  mengorbankan enam orang termasuk Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1M) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alia. 

Mereka dalam perjalanan pulang dari Kuantan ke Subang selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang.

Kredit Gambar: Pahang Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...