GENG LENSA HIDUP

12 May 2015

TUN M: PAKATAN AKAN PERINTAH NEGARA JIKA NAJIB GAGAL TANGANI ISU 1MDB



KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat dilihat akan mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 jika kerajaan gagal menangani isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan segera.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia menjadi faktor penarikan sokongannya sendiri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkesan.

"Apabila saya mula mendengar berkenaan 1MDB, saya berasa keadaan sudah menjadi amat serius. Pada masa itu maklumat tidak banyak. Saya terpaksa buat keputusan untuk hantar kepada Najib surat menyatakan saya tidak sokongnya lagi.

"Najib hanya mengarah orang berdekatan dengannya supaya saya tarik balik surat saya. Kerana ia tidak dedah penarikan sokongan saya, terpaksalah saya dedah sendiri.

"Saya terima lebih banyak maklumat berkenaan 1MDB. Saya terkejut dengan jumlah hutang yang begitu tinggi. Kerajaan sendiri tidak pernah hutang begitu banyak. Hutang ini pula dibuat secara off-budget, iaitu tanpa mendapat kelulusan Kabinet atau Dewan Rakyat," katanya dalam catatan terbaharu di blognya hari ini.

Bagaimanapun kata Dr Mahathir, dia tidak dapat menerima negara diperintah oleh Pakatan.

"Dasar-dasar dalam parti-parti dalam pakatan bertentangan antara satu dengan yang lain. DAP lebih utamakan kepentingan orang Cina. PAS mendakwa ia bukan Melayu, hanya Islam.

"Keislaman PAS hanyalah untuk politik bukan sebenarnya untuk Islam. Sebab itu PAS mengkafirkan UMNO kerana bekerjasama dengan orang kafir tetapi kemudian PAS memeluk orang kafir. Parti Keadilan hanya untuk Anwar jadi Perdana Menteri.

"Jika Pakatan menjadi Kerajaan, huru-hara akan berlaku. Kemajuan negara akan terjejas dan rakyat semua kaum akan menderita," tegasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Najib dilaporkan berkata anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO mahu keputusan siasatan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB perlu dipercepatkan.

Najib berkata MT UMNO membuat gesaan tersebut supaya rakyat tahu hasil siasatan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB.

DENDA, PENJARA JIKA TAK SOLAT JUMAAT



ALOR SETAR - Bermula 1 Jun ini, umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, kata Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jaik, Syeikh Ahmad Fisol Omar berkata, mereka yang didapati bersalah boleh disaman tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

"Kita tidak mengeluarkan saman secara membuta. Kita akan bertindak mengikut aduan yang dilaporkan orang awam terutama sekali yang tinggal dalam kariah sendiri.

"Sekiranya pesalah gagal memberi kerjasama, kita juga akan memohon waran tangkap dari Hakim Mahkamah Syariah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Syeikh Ahmad berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai kehadiran lelaki Islam di tempat-tempat awam di negeri ini ketika waktu solat Jumaat, dan berharap undang-undang itu dapat membendung perbuatan meninggalkan solat Jumaat.    

Perkara tentang Seksyen 13 berkenaan kegagalan menunaikan solat Jumaat itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014, yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri tahun lepas.

Penguatkuasaan sepatutnya bermula pada 1 Februari lepas tetapi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaik akan hanya mula menguatkuasakan secara sepenuhnya 1 Jun ini.

Syeikh Ahmad berkata, Jaik mengadakan jelajah di 12 daerah di negeri ini untuk memberi penerangan kepada pihak yang boleh membantu dalam menguatkuasakan undang-undang itu.

"Poster dan pekeliling tentang undang-undang itu turut diedarkan kepada 568 masjid di seluruh Kedah," katanya.

Beliau berkata, orang awam boleh mendapatkan borang aduan ketidakhadiran solat Jumaat itu di pejabat-pejabat agama daerah dan maklumat pelapor akan dirahsiakan. – Bernama
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...