GENG LENSA HIDUP

Showing posts with label Tun M. Show all posts
Showing posts with label Tun M. Show all posts

12 May 2015

TUN M: PAKATAN AKAN PERINTAH NEGARA JIKA NAJIB GAGAL TANGANI ISU 1MDB



KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat dilihat akan mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 jika kerajaan gagal menangani isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan segera.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia menjadi faktor penarikan sokongannya sendiri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkesan.

"Apabila saya mula mendengar berkenaan 1MDB, saya berasa keadaan sudah menjadi amat serius. Pada masa itu maklumat tidak banyak. Saya terpaksa buat keputusan untuk hantar kepada Najib surat menyatakan saya tidak sokongnya lagi.

"Najib hanya mengarah orang berdekatan dengannya supaya saya tarik balik surat saya. Kerana ia tidak dedah penarikan sokongan saya, terpaksalah saya dedah sendiri.

"Saya terima lebih banyak maklumat berkenaan 1MDB. Saya terkejut dengan jumlah hutang yang begitu tinggi. Kerajaan sendiri tidak pernah hutang begitu banyak. Hutang ini pula dibuat secara off-budget, iaitu tanpa mendapat kelulusan Kabinet atau Dewan Rakyat," katanya dalam catatan terbaharu di blognya hari ini.

Bagaimanapun kata Dr Mahathir, dia tidak dapat menerima negara diperintah oleh Pakatan.

"Dasar-dasar dalam parti-parti dalam pakatan bertentangan antara satu dengan yang lain. DAP lebih utamakan kepentingan orang Cina. PAS mendakwa ia bukan Melayu, hanya Islam.

"Keislaman PAS hanyalah untuk politik bukan sebenarnya untuk Islam. Sebab itu PAS mengkafirkan UMNO kerana bekerjasama dengan orang kafir tetapi kemudian PAS memeluk orang kafir. Parti Keadilan hanya untuk Anwar jadi Perdana Menteri.

"Jika Pakatan menjadi Kerajaan, huru-hara akan berlaku. Kemajuan negara akan terjejas dan rakyat semua kaum akan menderita," tegasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Najib dilaporkan berkata anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO mahu keputusan siasatan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB perlu dipercepatkan.

Najib berkata MT UMNO membuat gesaan tersebut supaya rakyat tahu hasil siasatan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB.

15 April 2015

BEKAS KETUA POLIS NEGARA BERPIHAK PADA TUN M


Siasat semula kes Altantuya, Dr M tak salah menyoal, kata Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dilihat memihak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam gesaannya agar pihak berkuasa menyiasat semula kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Katanya, bekas perdana menteri itu tidak sepatutnya disalahkan ataupun dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan seperti desakan beberapa pihak, hanya kerana bertanya mengenai kes pembunuhan tersebut.
"Sekarang ini Dr Mahathir tidak melakukan kesalahan. Nak siasat beliau (Dr Mahathir) kenapa?
"Beliau (Dr Mahathir) hanya tanya, siapa yang memberi arahan (pembunuhan Altantuya)? Adakah itu dianggap hasutan?
"Beliau hanya nak tahu siapa mengarah. Jadi, siasatan kalau boleh, menjuruskan kepada untuk mendapat jawapan, ataupun siapa yang mengarah," katanya kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

Terdahulu, beliau menulis di laman Twitternya @TSMusaHassan mengatakan, pihak polis perlu membuka semula kes itu, walaupun mahkamah sudah mensabitkan kesalahan, agar segala pertanyaan perdana menteri paling lama berkhidmat itu terjawab.
Kata Musa menerusi tweetnya, Dr Mahathir langsung tidak melakukan kesalahan apabila mengeluarkan kenyataan menggesa pihak berkuasa menyiasat kes itu.
"Tun Mahathir tidak melakukan kesalahan beliau menyuarakan pertanyaan harap penyiasatan polis dapat menjawab segala pertanyaan Tun," kata beliau yang merupakan ketua polis negara semasa pembunuhan itu berlaku pada Oktober 2006.
Susulan pendedahan baru-baru ini oleh salah seorang yang disabitkan bersalah membunuh, bekas komando polis Sirul Azhar Umar, yang mengatakan beliau bertindak menurut arahan, Dr Mahathir meminta polis menyiasat siapa yang memberi arahan itu.
Pada 8 April, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dilaporkan merancang membuat laporan polis di seluruh negara bagi menggesa polis menyiasat Dr Mahathir mengikut Akta Hasutan susulan kenyataannya yang antara lain mengaitkan pembunuhan Altantuya dengan Najib.
Musa dalam perbualannya dengan pengikutnya di Twitter, kemudiannya ditanya kenapa pada zamannya polis tidak menyiasat motif kejadian.
Beliau menjawab: "Siasatan penuh dijalankan, tiga orang didakwa, seorang dibebaskan. Mangsa membuat laporan polis sebelum hilang."
Beliau dipercayai merujuk kepada Sirul dan rakannya di Unit Tindakan Khas Azilah Hadri, yang didapati bersalah oleh mahkamah, dan Abdul Razak Baginda yang dituduh bersubahat tetapi dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Sirul dan Azilah merupakan bekas pengawal pengiring Najib ketika itu sementara Razak merupakan salah seorang individu kepercayaan Najib.
Kata Musa di dalam tweetnya, motif itu sepatutnya didedahkan di mahkamah ketika perbicaraan berjalan.
Kepada seorang pengikut yang mengatakan sekurang-kurangnya selepas siasatan dibuat, polis dapat membersihkan nama Najib jika terbukti beliau bersih, Musa berkata: "Siasatan tidak tunjuk keterangan Najib terlibat, itu sebab tiga orang dituduh."
Mengulangi semula pendiriannya kepada The Malaysian Insider, Musa berkata, tidak ada sebab kertas siasatan tidak boleh dibuka memandangkan wujudnya laporan polis terdahulu, katanya merujuk kepada laporan polis dibuat Altantuya sebelum kejadian.
"Altantuya sebelum mati ada buat laporan polis, takkanlah pihak berkuasa tak siasat. Sebab ada yang cakap, jadi kenalah siasat.
"Benda ini saya dah ulang dulu. Kalau tak puas hati, tanyalah orang yang melakukannya, selain dari apa yang kita siasat," katanya merujuk kepada pembunuh Altantuya, Sirul dan Azilah.
Bagaimanapun, beliau tetap menyambut baik kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengatakan semalam, pihak berkuasa mungkin akan menyiasat Dr Mahathir, tetapi ia akan dilakukan dengan berhati-hati dan secara senyap. – 14 April, 2015.themalaysianinsider.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...