GENG LENSA HIDUP

12 December 2014

10 FILEM MENDAPAT KUTIPAN TERTINGGI TAHUN INI

Tahun 2014 merupakan tahun yang amat menarik buat penggemar filem. Panggung wayang dilimpahi pelbagai cereka menarik tidak kira sama ada filem baharu, adaptasi buku, sekuel yang dinanti mahupun animasi kelolaan komputer.

Meskipun setiap tayangan filem akan diberi komen dan kritikan oleh pelbagai pihak namun nasib sesebuah karya itu tetap terletak di tangan penonton yang membayar sejumlah wang untuk menyaksikan persembahan di layar perak.

Mari ketahui 10 filem Hollywood yang berjaya mengutip kutipan tertinggi sepanjang tempoh tayangannya.

10 - The Hunger Games: Mockingjay - Part 1


Filem ketiga dalam siri adaptasi buku The Hunger Games ini mencatat rekod luar biasa apabila berada di tangga pertama kutipan mingguan selama tiga minggu. Bahagian pertama filem Mockingjay ini mengaut USD 560,953,593 (RM1.95 billion) dalam tempoh sebulan.

9 – Interstellar


Interstellar merupakan cerita sains fiksyen arahan pengarah berbakat, Christopher Nolan. Mula ditayangkan di seluruh dunia awal November lalu, filem lakonan Matthew McConaughey, Anne Hathaway dan Jessica Chastain ini memperoleh USD 594.3 juta (RM2.07 billion) sehingga kini.

8 - How to Train Your Dragon 2


Sekuel kepada How to Train Your Dragon yang menemui penonton empat tahun lalu mendapat ulasan yang baik. Hasil kerjasama syarikat 20th Century Fox dan DreamWorks Animation, How to Train Your Dragon 2 mendapat kutipan sebanyak USD 618,890,856 (RM2.2 billion).

7 - Dawn of the Planet of the Apes


Dawn of the Planet of the Apes adalah filem kedua dalam siri reboot Planet of the Apes. Mencapai USD 708 juta (RM2.46 billion) kutipan sepanjang tempoh tayangannya, filem sains fiksyen ini mendapat kritikan luar biasa yang memuji jalan cerita, permainan emosi dan efek khas yang menakjubkan.

6 - The Amazing Spider-Man 2


Meskipun menjadi filem dalam siri Spiderman dengan kutipan terendah namun itu tidak bermakna The Amazing Spider-Man 2 tiada tarikannya. Adaptasi dari karakter Marvel oleh Marc Webb ini berjaya mengumpul USD 708 juta (RM2.47 billion) dan berada pada tangga keenam.

5 - Captain America: The Winter Soldier


Filem solo kedua mengenai superhero Captain America, filem The Winter Soldier mencatat kutipan USD 714 juta (RM2.49 billion) yakni kenaikan yang mendadak dari filem pertama iaitu sebanyak USD 370.6 juta (RM1.07 billion). Pengembaraan adiwira ini akan diteruskan dalam Avengers: Age of Ultron yang akan menemui pawagam pada Mei 2015.

4 - X-Men: Days of Future Past


Filem yang ditunggu-tunggu oleh jutaan peminat superhero mutan di seluruh dunia. X-Men: Days of Future Past merupakan dwi-sekuel kepada filem X-Men: The Last Stand (2006) dan X-Men: First Class (2011). Diiktiraf sebagai filem terbaik dalam sirinya, filem arahan Bryan Singer mendapat kutipan bersih USD 746 juta (RM2.6 billion).

3 – Maleficent


Adaptasi live-action yang pertama untuk kisah dongeng Sleeping Beauty ini dimainkan oleh Angelina Jolie sebagai karakter titularnya. Berlandaskan bajet USD 180 juta, Maleficent membawa pulang USD 757.8 juta (RM2.64 billion) buat Disney.

2 - Guardians of the Galaxy


Guardians of the Galaxy merupakan filem kesepuluh dalam projek Marvel Cinematic Universe. Filem pengembaraan angkasa yang mengutip USD 771,826,145 (RM2.69 billion) ini dilakonkan para aktor yang popular seperti Chris Pratt, Zoe Saldana, Vin Diesel, Bradley Cooper dan Benicio del Toro.

1 – Transformers: Age of Extinction


Filem keempat Transformers ini berjaya menduduki tempat teratas dalam senarai filem dengan kutipan tertinggi sepanjang 2014 iaitu sebanyak USD 1,087,404,499 (RM3.8 billion). Cereka aksi sains fiksyen ini mendapat ulasan yang tidak begitu baik namun impak yang diberikan tetap berjaya mengajak orang ramai untuk menontonnya.

Siapa sangka bahawa separuh filem yang tersenarai berkaitan dengan superhero bukan?

1 comment:

Aretikz said...

Pergh ~ Transformer.. tapi lebih minat dengan cite guardian tu.. hehe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...