sekadar hiasan... sedap tak???
BOLEHKAH KITA AMANAH DAN JUJUR WALAU DENGAN SEBUNGKUS NASI DAN SEBIJI BUAH?.
"Bengang betul saya dengan orang-orang masjid ni.."
Luah kawan saya minggu lepas. Saya tanya kenapa? Saya tahu kawan saya ini setiap hari jumaat akan menghantar makanan yang sudah siap dipack ke masjid. Kata dia biarlah sesiapa yang kurang duit boleh makan, makanan yang disediakan. Saya tahu sudah bertahun dia melakukan hal ini. (saya suka berkawan dengan orang yang memberi impak positif kepada saya).
"Bila kita hantar makan, ke masjid, pak imam dan orang masjid dah terpa. mereka dah ketepikan 3-4 bungkus untuk diri sendiri. Kata mereka untuk dibawa balik. Hendak dilarang rasa malu, tetapi rasa marah pun ada. Kita beri makan kepada yang kurang berkemampuan, mungkin yang hujung bulan tak ada duit dan sebagainya. Tetapi mereka dah tunggu dahulu. Sampai bilalah orang masjid ini mahu amanah.."
Saya tahu dalam hal memberi makanan, membuat kerja kebajikan sesekali memang pasti ada rasa termengkelan dan terbuku di hati. Saya selalu sahaja telan dan simpan dalam hati tetapi suamilah yang selalu bising.
Kadangkala kami hantar buah-buhan ke sekolah tahfiz atau anak yatim bila musim berniaga buah tiba. Pernah suami balik marah-marah. Dia hantar ke sekolah tahfiz dalam 30 kotak buah. Buah itu tahan untuk seminggu dua untuk anak-anak katanya. Tetapi apabila dia hantar sahaja, penyelia sekolah tersebut seorang ustaz menerpa. Memilih buah-buah yang paling terbaik dan dimasukkan ke dalam keretanya.
Kemudian barulah dia menyuruh suami menghantar ke tempat makan. Bukan sekali dua, berkali-kali sehingga suami membuat keputusan tidak mahu menghantar ke tempat itu lagi. Walau dipujuk dia tidak mahu. Kata dia biar kita pergi ke sekolah yang gurunya lebih bertamadun (saya memang bergantung kepada suami dalam hal penghantaraan).
Kita tahu mendidik diri kita untuk menjadi Amanah dan jujur bukan mudah. Walau dengan sebungkus nasi dan sebiji buah pun belum tentu kita boleh amanah dan jujur.
AMANAH ITU BERAT