Anak yang enggan ke sekolah adalah suatu masalah yang normal yang sering dihadapi oleh kebanyakkan ibu bapa, terutamanya bagi anak sulung yang pertama kali masuk sekolah (Sekolah Pra mahupun Darjah satu)
Banyak sebab menjadi punca kepada masalah ini. Mungkin kerana anak merasa takut atau tertekan untuk datang ke sekolah, hal ini akan memberi kesan kepada si anak.
Kadang-kadang kita mengambil ringan tentang tekanan yang dihadapi oleh anak ini. Perkara ini perlu diambil perhatian kerana ia bukan sahaja menjejaskan emosi kanak-kanak tersebut, bahkan mampu menjejaskan sistem tubuh anak seperti selalu mengalami sakit kepala dan sakit perut.
Yang pasti, mesti ada sesuatu sebab kenapa mereka tidak mahu pergi sekolah. Contohnya tidak suka pada guru yang garang, dibuli rakan, takut berpisah dengan ibu dan sebagainya.
Selidiki punca masalah; apakah sebab anak tidak mahu pergi sekolah. Pujuk dan tanya kenapa dia tidak mahu pergi sekolah; adakah sebab kena buli, takut kawan atau guru atau sebagainya.
ANTARA LANGKAH YANG BOLEH KITA LAKUKAN DALAM MENANGANI MASALAH ANAK TIDAK MAHU KE SEKOLAH ADALAH:
1. Seelok-eloknya sebelum sekolah bermula, anak sudah didedahkan dengan cerita mengenai sekolah baru supaya emosinya lebih bersedia. Ceritakan suasana positif dan keseronokan di sekolah, seperti ada ramai kawan,“guru yang baik, ada taman permainan dan sebagainya..
2. Kita sendiri sebagai ibu bapa perlu cekal apabila menghantar dan meninggalkan anak buat pertama kali kerana emosi kita banyak mempengaruhi emosi anak.
3. Cuba berfikiran positif dan elakkan daripada menunggu anak dalam kelas terlalu lama. Perkara ini akan menyukarkan proses penyesuaian. Tinggalkan saja anak sebaik menghantarnya ke tadika walaupun dia menangis. Usah bimbang kerana biasanya anak akan diam selepas ibu atau bapa pulang. Apabila ditinggalkan, insya-Allah dia akan mula bergaul dengan kawan lain.
4. Pastikan juga kita tidak lewat mengambil anak pulang dari tadika atau sekolah terutamanya pada minggu pertama. Biasanya kanak-kanak akan berasa takut apabila melihat kawan sudah pulang.
5. Beri ganjaran (umpan) kepada anak yang tidak mahu ke sekolah dengan sesuatu yang disukai sekiranyanya dia rajin ke sekolah tetapi elakkan daripada mengumpan anak dengan jajan dan mainan yang mahal. Teruslah menghantar anak ke tadika secara konsisten. Tidak konsisten akan melambatkan proses penyesuaian.
6. Buat kerja rumah dan ulangkaji bersama-sama. Tanya hal-hal aktiviti, siapa kawan dia di sekolah dan sebagainya. Tunjukkan minat dan sokongan anda terhadap persekolahannya.
Mungkin juga dia tidak suka pakaian sekolahnya yang tidak selesa. Tudung yang panas
7. Sebagai ibu bapa, banyak berdoa untuk kesejahteraan anak. Selalu membaca surah as-Syura ayat 19 dan Ali Imran, ayat 200 untuk melembutkan hati anak dan supaya mereka senang belajar. Puan juga boleh amalkan zikir ‘Ya Hayyu, Ya Quyyum dan Ya Latif’.
PENUTUP
Sekiranya anak terus meragam, sentiasalah bersabar dan memujuk mereka dengan banyak berbual, bermain dan bercerita. Ia boleh meredakan banyak masalah emosi anak.
Setiap kanak-kanak adalah berbeza dan mengambil masa yang berbeza untuk menyesuaikan diri. Jangan khuatir kerana fitrah anak-anak memang suka kepada alam persekolahan.