KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa seluruh umat Islam bangkit menyelamatkan masjid-masjid khususnya Gaza.
"Jihad besar-besaran mesti digerakkan untuk melindungi masjid di Gaza," tegas presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.
Menurutnya, serangan Israel yang berterusan ke atas Gaza sehingga memusnah lebih 65 masjid adalah terkutuk dan masyarakat dunia perlu bertindak tegas untuk menghukum entiti haram Israel sebagai negara penjenayah.
Katanya lagi, kemusnahan sepenuhnya sebuah Masjid Umar Abdul Aziz dalam serangan semalam adalah masjid yang telah dibina daripada sumbangan 100% oleh rakyat Malaysia yang diusahakan pihaknya.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau.
Serangan Israel yang berterusan ke atas Gaza sehingga memusnah lebih 65 masjid adalah terkutuk dan masyarakat dunia perlu bertindak tegas untuk menghukum entiti haram Israel sebagai negara penjenayah.
Kemusnahan sepenuhnya sebuah Masjid Umar Abdul Aziz dalam serangan semalam adalah masjid yang telah dibina daripada sumbangan 100% oleh rakyat Malaysia yang diusahakan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
Sebelum ini sebuah musolla yang juga dibina oleh Mapim juga hancur sepenuhnya dibedil oleh rejim zionis Israel. Sebuah lagi masjid Mapim iaitu Masjid Nasr juga rosak dibom oleh rejim Israel.
Masjid Umar Abdul Aziz yang telah terbina setahun yang lalu merupakan salah sebuah dari 9 masjid yang telah dibina melalui kutipan dana oleh Mapimsejak 2010.
Sumbangan yang dikutip melalui kempen di seluruh negara adalah sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia untuk membantu membina semula Gaza bermula serangan pada 2008/2009. Dalam serangan rejim Israel ketika operasi 2008/2009 itu 32 masjid musnah sepenuhnya.
Masjid Umar Abdul Aziz merupakan masjid yang telah dimusnah dalam operasi Operation Cast Lead 2008/2009 oleh Israel.
Mapim telah didatangi oleh Persatuan Islam Bait Hanoun, Gaza dan memohon bantuan agar masjid ini dapat dibangunkan semula. Mereka memaklumkan bahawa masjid tersebut amat bersejarah dan sangat penting untuk komuniti di daerah Bait Hanoun.
Dengan persetujuan Mapim, akhirnya pembinaan semula masjid ini telah dimulakan dengan cara menawarkan kepada sebuah masjid di Malaysia untuk menjadi masjid kembar kepada Masjid Umar Abdul Aziz.
Sejak dari 2011, qaryah yang dipilih iaitu Masjid Al-Falah Subang Jaya bersama Mapim telah melancarkan kutipan dana berjumlah RM1.9 juta dan masjid itu siap dibina dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Gaza Ir Ismail Haniyeh bersama dengan Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Pengerusi Masjid Al-Falah Subang Jaya, Datuk Seri Syed Zainal Syed Mohd Tahir pada Mei 2013.
Masjid ini telah diumumkan sebagai yang tercantik di Gaza dan ia menjadi batu tanda kehadiran Malaysia di bumi Gaza.
Rakyat Palestin Gaza telah memberi perhormatan yang sangat tinggi kepada Malaysia hasil dari kejayaan Mapim mengambil inisiatif mengerakkan pembinaan masjid sehingga ia menjadi tali persaudaraan yang akrab antara masyarakat Malaysia dan Gaza.
Pemusnahan total akibat serangan 3 roket yang dilancarkan ke atas masjid tersebut telah menyebabkan Masjid Umar Abdul Aziz itu sekali terpaksa dibina semula dengan sumbangan umat Islam.
Mapim mengumumkan bahawa kami tidak akan membiarkan Israel membunuh semangat umat Islam untuk terus mempertahan dan membangunkan semula rumah Allah yang suci ini.
Kami berpendirian bahawa adalah menjadi tanggungjawab kami dan seluruh umat Islam untuk melancarkan pembangunan dan jihad melindungi masjid sehingga kehormatan masjid sebagai premis ibadat dipertahankan.
Mapim mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertamadun rejim Israel ini yang tidak boleh dibiarkan oleh masyarakat antarabangsa. Rejim Israel adalah jelas sebuah negara penjenayah dan perbuatannya yang melakukan jenayah perang ini tidak boleh dibiarkan tanpa dihukum.
Kami menggesa kerajaan Malaysia tidak mendiamkan diri terhadap satu lagi jenayah yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza sehingga sekarang masuk hari ke-48.
Kerajaan Malaysia hendaklah mengambil daya usaha yang lebih tegas dengan menyuarakan kutukan dan desakannya supaya agensi dunia tidak berdiam diri. Mendiamkan diri akan mengakibatkan pemusnahan yang lebih besar akan dilancarkan oleh Israel untuk menghancurkan banyak lagi masjid di Gaza.
Memusnahkan masjid-masjid di Gaza kini adalah agenda jahat rejim zionis Israel untuk melenyapkan syiar Islam dan cuba menghapuskan institusi agama yang merupakan pusat pembangunan masyarakat Islam di wailayah tersebut.
OIC perlu bertindak kerana antara tujuan kewujudannya bermula 1969 adalah untuk menjaga kemuliaan dan kepentingan Islam dan umat Islam. Kewujudan OIC bertitik tolak dari peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa, sebab itu sebarang pengkhianatan terhadap masjid dimana sahaja hendakalah ditentang sekeras-kerasnya.
Adalah menjadi sangat memalukan ketika mana ratusan masjid di Gaza dibedil dan dimusnahkan.
Mapim menggesa seluruh umat Islam bangkit menyelamatkan masjid-masjid khususnya Gaza. Jihad besar-besaran mesti digerakkan untuk melindungi masjid di Gaza. - HARAKAHDAILY 26/8/2014