GENG LENSA HIDUP

Showing posts with label tak sihat. Show all posts
Showing posts with label tak sihat. Show all posts

13 October 2010

SEDARLAH WAHAI ANAK LELAKI

MENITIK air mata saya kerana tersentuh membaca kisah minggu lalu berjudul 'Ibu sakit anak-anak bersengketa.' Kisah itu hampir saya dengan apa yang sedang saya lalui. Saya terpaksa berhenti beberapa kali kerana air mata berguguran tanpa berhenti kerana saya terlalu sedih.

''Saya mempunyai dua orang abang, tetapi yang sulung bersikap lepas tangan untuk menjaga emak kami yang sakit, sama seperti yang Shahariah lalui,'' Demikian cerita Nazirah dalam e-mel yang dikirimkannya Isnin lalu.

''Kami empat beradik semuanya, saya anak ketiga, dan seorang adik perempuan. Dua abang saya telah berkahwin dan berkeluarga. Abang Naz menunjukkan sikap yang amat mengecewakan saya. Hidupnya senang lenang dengan bantuan ayah semasa hayatnya, tetapi kemewahan yang dikecapinya menjadikan dia seperti kacang lupakan kulit.

''Sebelum emak jatuh sakit dia tinggal sendirian, tak jauh dari rumah saya dan abang di utara tanah air. Kata emak kami dah berkeluarga binalah keluarga sendiri. Abang kedua tinggal di KL, adik baru sahaja berkahwin, dulu masih belajar di kolej di KL.

''Bila emak diserang strok saya ambil dia tinggal bersama saya. Lima tahun lamanya saya jaga emak sendirian. Abang Naz langsung tak membantu, malah menjenguk emak pun boleh dikira dengan jari. Nak jadikan cerita dua tahun lalu saya terpaksa mengikut suami bertugas jauh ke negeri di bawah bayu. Nak bawak emak dia sakit. Jadi saya terpaksa tinggalkan dengan abang Naz.

''Selama itulah emak dilayan macam peminta sedekah yang hina dan kotor. Setelah suami saya berjaya dapat bertukar kembali ke Semenanjung, maka abang Naz tidak sabar-sabar menghantar emak kembali ke rumah saya dengan alasan dia sudah tidak tahan lagi kerana perangai emak amat degil.

''Isterinya, kak Zu juga tidak boleh tahan lagi melihat keadaan emak yang dikata pengotor.

''Kata abang Naz emak degil tidak mahu pakai lampin pakai buang itulah sebabnya lantai rumahnya, kerusi, kain emak berbau hancing. Malah kata kak Zu saudara maranya tak mahu lagi datang ke rumahnya kerana tak tahan bau emak.

''Adatlah orang dapat strok begitulah keadaannya, kita sebagai anak kena sabar. Dulu semasa saya jaga emak saya ambil pembantu, jadi bolehlah dia membantu saya menguruskan keperluan ibu kerana saya pun bekerja. Dan saya tanggung semua perbelanjaan mengambil pembantu termasuk membayar gaji bulanannya. Untuk memudahkan diri apalah salahnya abang ambil pembantu juga? Kerana dia mampu!

''Tetapi kini untuk mengambil pembantu baru kerana yang lama sudah berhenti, saya meminta bantuan adik-beradik, kerana perbelanjaannya besar. Lagi pun tugasnya semata-mata menjaga emak dan mengikut emak ke mana sahaja jika emak hendak bertukar angin tinggal di rumah abang. Jadi tidaklah penat kak Zu jaga emak.


Pembantu

''Emak tak kuat berdiri, berjalan pun kena pimpin, apa lagi hendak menguruskan diri sendiri, dengan adanya pembantu ringanlah sedikit tugas menguruskan emak. Tapi abang Naz tak setuju. Saya boleh terima kalau isterinya buat perangai bencikan emak mertua. Tetapi saya amat sedih bila abang Naz sendiri bencikan emak, malah dia jijik dan malu melihat keadaan emak.

''Bila saya tanyakan abang Naz kenapa benci sangat dengan emak. Katanya mengapa dia yang kena jaga emak, sedangkan Angah langsung tak pernah jaga emak. Taulah saya rupanya dia dengki abang Ngah yang tinggal di KL. Sebenarnya bukan abang Ngah tak mahu ambil emak, tapi emak tak mahu tinggal di bandar jauh dari kampung. Lagi pun perjalanannya amat jauh.

''Memang isteri abang Ngah, Syah pun buat perangai bencikan emak. Tetapi abang Ngah ambil berat pasal emak. Selain mengajak tinggal di rumahnya, abang Ngah hulurkan perbelanjaan untuk emak seperti membeli lampin pakai buang dan makan minum emak.

''Abang Naz cadangkan kami bergilir-gilir jaga emak tiga bulan seorang. Tetapi mengapa baru sekarang, mengapa tak buat cadangan semasa saya jaga emak sendirian lima tahun dulu.

''Saya tanya abang Naz adakah tanggungjawab menjaga emak hendak digilirkan, sedangkan ia menjadi tanggungjawab seorang anak lelaki Islam yang seumur hidupnya, haknya dipegang oleh ibunya sendiri.

''Isteri pula perlu taat kepada suaminya dan juga wajib taat kepada ibu mertuanya. Bukan saya mahu mengungkit apa yang telah saya buat selama menjaga emak tetapi, saya bertuah mempunyai suami yang faham masalah saya dan mengizinkan saya menjaga emak. Jika takdir suami saya tak izinkan, apa akan jadi pada emak? Pasti anak lelaki akan ditanya Allah di dunia mahupun di akhirat kelak.

''Ingatlah wahai abang suatu hari nanti kita juga akan tua dan tidak berupaya, dan cuba fikirkan adakah anak-anak kita akan melayan kita seperti mana yang kita kehendaki atau mereka melayan kita seperti apa yang kita lakukan kepada ibu bapa kita sekarang?

''Insaflah, setiap apa yang kita lakukan hari ini akan ada balasannya, kita tidak perlu tunggu akhirat sebaliknya kita akan terima pembalasan atas perbuatan kita semasa di dunia lagi. Fikirkanlah dan ingatlah. Ketika itu menangis air mata darah pun sudah tidak berguna lagi. Kerana segala-galanya sudah terlambat.

''Apa salahnya, jika kita adik-beradik duduk bersemuka dan berbincang dengan cara baik untuk mencari penyelesaian terbaik untuk semua pihak? Bukan saya tak mahu jaga emak lagi, tetapi saya tak mahu abang menerima pembalasan atas perbuatan abang kepada emak sekarang. Namun saya tetap jaga emak sebab saya sayangkan emak, kerana emaklah satu-satunya emak saya dunia dan akhirat.'' Demikian luahan hati Nazirah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...