GENG LENSA HIDUP

13 October 2010

LANTAI SEKOLAH RUNTUH

ALOR SETAR - Seramai 10 orang murid Darjah Empat Sekolah Kebangsaan Gunong di Gunung Keriang dekat sini cedera dengan dua daripadanya serius selepas lantai bangunan sekolah yang menempatkan kelas mereka runtuh pagi tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi itu melibatkan 30 murid yang sedang mengikuti kelas Pendidikan Islam.
Lantai dikatakan runtuh secara tiba-tiba dan murid yang berada di dalam kelas itu terjatuh ke dalam lubang sedalam satu meter dan selebar dua meter persegi.
Lima murid lelaki dan lima murid perempuan itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi mendapatkan rawatan, oleh pihak sekolah dan ibu bapa yang kebetulan berada di situ.
Salah seorang murid berkenaan, Mohd. Aliff Hakim Abu Bakar berkata, ketika kejadian, secara tiba-tiba lantai kelasnya reput (patah) menyebabkan dia terjatuh ke dalam lubang runtuhan itu.
“Saya merangkak keluar dan ustazah tarik saya keluar. Saya terkejut. Saya cedera kaki kanan,” katanya ketika ditemui di HSB.
Filza Nadhirah Idris yang juga cedera di kaki kanan berkata sewaktu kejadian dia merasakan kelas itu bergoyang-goyang sebelum dia terjatuh ke bawah. - Bernama
sumber: KOSMO
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...